Friday, December 30, 2011

TANAH INI MILIK ALLAH!

TANAH INI MILIK ALLAH...
ALLAH MENGUJI DENGAN KENIKMATAN...
TIDAK ADA YANG LAYAK MENYATAKAN TANAH ITU ADALAH HAKNYA...
KERANA YANG HAK HANYA PADA YANG ESA...
BUMI INI ALLAH PINJAM UNTUK KITA...
SEMAI BENIH DISETIAP LANGKAH...

APAKAH BENAR TANAH INI MILIK MANUSIA?
JIKA BENAR KENAPA TANAH MENJAMAH TUANNYA...
ADAKAH BENAR MANUSIA KAYA AKAN PERKASA?
SEDANGKAN KEKAYAAN TIDAK MAMPU MEMBELI MUNGKAR DAN NAKIR...
SIAPA MANUSIA DENGAN HARTA PANGKATNYA?
SEDANG DIMAHSYAR BERSERAGAM KULIT...


MENGAPA BAKHIL JADI PEGANGAN?
SEDANGKAN AZAB TERPADAM KERANA SEDEKAH...
KENAPA MANUSIA BANGGA DENGAN BANGSANYA?
SEDANGKAN RASUL TIDAK MEMANDANG BANGSA ARABNYA...
BILA KITA BERHENTI MENGEJAR DUNIA?
SEDANGKAN MAUT SENTIASA HAMPIR...


DIMANA LETAKNYA AZAM MENJADI HAMBA YANG BERTAKWA ?
MAKA SUCIKAN HATI...
BERAZAMLAH...
AMALKAN...
GENGGAMLAH...
GIGITLAH DENGAN GERAHAM MU SEKUAT-KUATNYA...
PADA AL QURAN DAN HADIS...
JANGAN DIPISAH DARI KEHIDUPAN...
KERANA KITA MUNGKIN DIAKHIR ZAMAN...
KERANA TANAH INI MILIK ALLAH...
DAN NAFAS INI MILIK ALLAH...
SEMOGA MENJADI IKHTIBAR BAGI YANG BERTAKWA!!

Wednesday, August 24, 2011

Apa Ucapan Aidilfitri, Lupakan Ramadhan?, Zakat dan Persediaan Syawal


Bismillahirrahmanirrahim
Segala puji dan Syukur kepada Allah SWT yang memberikan berkah dan rahmat kepada seluruh makhluk yang berada di atas hamparan muka bumi milik Allah ini… Assalamualaikum dan Salam Perpaduan Ummah kepada umat muslimin dan muslimat yang sekarang berada dipenghujung ramadhan.


Apa Ucapan Aidilfitri, Lupakan Ramadhan?, Zakat Dan Persedian Syawal adalah tajuk entry seorang pemikir? pada kali ini. Syawal akan menjelang tiba maka bermulalah episode baru seorang insan yang mungkin ada membawa perubahan dalam diri dan tidak kurang yang tidak ada perubahan iaitu masih berada ditakuk lama. Sebelum memulakan penulisan saya yang tidak seberapa dan lagi pojok ini mungkin lebih baik saya kendurkan sedikit hati dan minda pembaca serta blogger2 sekalian dengan sedikit sajak…
Di Keheningan subuh akhir ramadhan ini…
Izinkan saya melafazkan sebuah bicara…
Lantas saya terkenang pada sebuah memori indah
Yang tidak pernah luput dihati yang maha kecil ini
Itulah….
Irama Puasaku di siang hari…
Irama Zikirku di waktu hening…
Senandung tasbihku di kala senja…
Ibadah tarawihku bila bulan menampakkan dirinya…
Dan Kasih Tahajudku di malam yang pekat…
 Akankah semua ini berkumandang dan bertemu sekali lagi
 Insyallah ku pohon bertemu di Ramadhan akan datang?

Sajak tersebut hanya sepintas lalu untuk mengenangkan ramadhan yang akan kita tinggalkan dan adakah kita akan beramal sebanyak dan sebaik mungkin dan dapat bertemu sekali lagi seperti ini pada tahun akan datang? Atau kita mungkin dijemput oleh Maha Pencipta… No One Knows.. hanya Allah yang Maha Mengetahui…

Apabila syawal mula menyingkapkan dirinya maka kita semakin berpusu-pusu mula menjalankan ‘ibadah duniawi’ yang mungkin juga menyebabkan kita lupa dan mula kelihatan nyanyuk… dari siang hingga ke malam kita mula bertasbih dengan wang ringgit, kita mula berzikir dengan kira-kira, kita mula beramal dengan dipenuhi segala beg kertas dan beg plastik di kedua-dua belang tangan seperti kiamat akan tiba dan inilah masanya untuk membeli segala bekalan dan barang keperluan untuk kiamat. Ramai daripada kita melakukan amal ibadah ‘tawaf’ dari satu kedai ke satu kedai, dari satu kompleks membeli-belah ke satu kompleks membeli-belah lain hingga kita terlupa kita masih berada di bulan Ramadhan. Terawih mula kita pinggirkan, tahajud kita mula di beri salam malahan zohor dan asar serta maghrib hanya bersolat melalui pandangan dengan melihat mesjid atau surau yang hanya dihadiri dua kerat atau tiga kerat saf makmum. Dalam  kereta pun tidak ada lagi alunan tasbih atau zikir tetapi lebih teruja dengan lagu S. Jibeng, DJ Dave setidak-tidaknya lagu P.Ramli atau Sudirman Balik Kampung sambil kita menyanyi sama (adakalanya penulis juga turut menyanyi sama bukannya apa suka dengar lagu sepasang kurung nan biru).


Di bonet kereta segala barang telah dibeli dari hujung rambut hingga hujung kaki tidak ada yang kurang bagi yang ‘maha kaya’ baju melayu tiga hingga empat pasang (sepasang hingga dua tiga ratus ringgit) alangkah baiknya kalau sepertiga nilai harga dari sepasang baju atau sepertiga nilai kesemua baju melayu disedekahkan kepada fakir miskin atau anak yatim sekurang-kurangnya mereka juga mengikut sunnah Nabi SAW dengan memakai baju baru di pagi syawal.  Bagi yang Hawa harga tudung seperti harga 7 buah telefon bimbit nokia 3310 malahan baju jubah atau baju kurung sama harga dengan perbelanjaan biskut raya… bukan apa setahun sekali lah katakan sedangkan kita lupa bahawa mati kita sekali dalam seumur hidup tidak akan berulang dan tidak akan diundurkan masa bila tiba ajal, tapi kita tetap meraikan syawal seperti kita mati pada esok hari… memang benar mungkin kita mampu (kaya) tapi diluar sana ada raaaaamaiiii…. lagi yang tidak mampu… tetapi sekiranya diantara kalian (yang mampu) yang telah memberi kecukupan kepada mana-mana yang memerlukan dan anda memberi kecukupan pada diri anda sendiri serta ahli keluarga maka anda adalah yang terbaik… kecukupan untuk diluar sana bukan bermaksud menghantar sedulang char kuey teow untuk moreh di surau (itupun terpaksa kerana dah ada sistem bergilir), kecukupan untuk diluar sana bukan bermaksud  sudah menghantar juadah berbuka puasa yang disedekahkan kepada penduduk di surau sedangkan itu hanya kuih buah melaka (puteri mandi) yang cukup untuk sepuluh orang. Namun bagi yang telah mencukupkan lebih selebihnya anda adalah yang terbaik!



Pada tika dan saat ini surau dan mesjid mula menampakkan taringnya yang sebenar apabila terawih dan solat subuh hanya dihadiri oleh pak imam yang bermatian-matian melagukan qasidahnya sebaik mungkin dan juga ahli jawatankuasa mesjid dan surau yang hadir berterawih bagi memuliakan penghujung ramadhan. Kita pula bagaimana? Yang balik kampung jenguk-jenguklah surau dikampung manalah tau bertemu lailatulqadar secara kebetulan, kalau tidak pun mungkin bertemu jodoh dengan rakan sekelas yang lampau…  

Apa yang penting untuk kita ialah persediaan Syawal ialah sebenarnya semakin kita mengimarahkan surau dan mesjid dan semakin kita bergotong royong untuk hadir berjemaah, semakin tebal ketakwaan kita pada Allah bukan semakin kita mempromosi biskut raya kita, bukan semakin kita riak dengan baju raya baru kita, bukan semakin kita lupa. Ingatlah bahawa apa yang kita miliki sebenarnya adalah milik Allah… sekiranya kita beranggapan kita lebih dari mampu lebih dari kaya marilah kita renungkan bahawa Rasulullah SAW itu lebih kaya dari semua manusia sekiranya Baginda menginginkannya, malahan segunung emas setinggi Everest mampu diadakan kepada baginda oleh Allah SWT tetapi bukan itu yang dicari, bukan itu yang ditunjuk, bukan itu yang diriakkan tetapi baginda memilih untuk bersederhana, siapa kita disisi Allah? Dan siapa Rasulullah SAW di sisi Allah? Dan siapa yang memiliki kekayaan dan segala harta yang berada dimuka bumi dan dilangit? Tentunya amat mudah untuk Allah memberi keutamaan kepada Rasulullah SAW berbanding diri kita! Malahan jika Allah ingin menarik segala nikmat (tak perlulah nikmat yang kekal seperti oksigen atau hilang anggota badan) cukup sekadar rezeki dan kita menjadi papa kedana maka mulalah kita mengingati Allah dan mulalah kita memperbanyakkan solat dan doa… jadi jangan tunggu hingga nikmat Allah ditarik dari kita!  



Sehubungan dengan itu kita wajar berkira-kira apa persediaan syawal, adalah afdal untuk kita mengetatkan ikatan kain pelikat (sarung), semakin kita kurangkan tidur agar dapat bertahajud, semakin kita dahaga kerana tidak berhenti untuk bertasbih dan berzikir. Malahan jika terpandang isteri yang semakin ramping (almaklumlah semenjak puasa) mungkin cukup sekadar menelan airliur bukannya apa kita berada dihari-hari terakhir ramadhan bukannya satu ramadhan. Tidak salah untuk membuat persediaan meraikan syawal tetapi biarlah berpada dan berwaspada… hingga zakat fitrah hampir terlupa dan kita kelam kabut dicampur dengan tergesa-gesa berjumpa dengan amil sebelum solat sunat aidilfitri dan bila tiba di surau sembahyang aidilfitri orang berpusu-pusu balik sebab dah habis baru tersedar semalam masih lagi sibuk dengan shopping walaupun dalam hati cuba mencari waktu yang paling afdal dalam membayar zakat fitrah.


Justeru tidak lengkap sekiranya kita berbicara mengenai zakat fitrah tetapi kita tidak mengimbas nilai zakat fitrah pada tahun ini iaitu 2011 mengikut negeri masing-masing.  Berikut adalah kadar zakat fitrah;
NEGERI
KADAR ZAKAT FITRAH 2011 (RM)
Perlis
6.00
Kedah
7.00
Pulau Pinang
7.30
Perak
7.00
Selangor
7.00
Negeri Sembilan
6.50
Melaka
6.30
Johor
6.50
Pahang
7.30
Terengganu
6.00/7.00/800
Kelantan
7.60
Sarawak
7.50
Sabah
7.00
Wilayah Persekutuan
7.00

Wajib membayar zakat: mulai tebenam matahari akhir 30 ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.
Afdhal: sebelum sembahyang sunat hari raya Aidilfitri.
Sunat: sepanjang bulan Ramadhan.
Makruh: selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu syawal.
Haram: selepas terbenam matahari pada satu syawal; hukumnya berdosa tetapi wajib ditunaikan zakat fitrah dan pada waktu itu ia dikiraa qada.



Bila tibanya Syawal mungkin ia merupakan satu detik yang paling menggembirakan pada semua umat Islam kerana berjaya mengalahkan nafsu semasa berpuasa dan melakukan amal ibadah yang berlipat ganda. Sehubungan dengan itu, disunnahkan untuk kita melakukan;

(i) BERTAKBIR bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) hingga ketika imam selesai berkhutbah.

(ii) perkara sunnah yang seterusnya  ialah MENGUCAP LAFAZ SELAMAT PADA HARI RAYA AIDILFITRI – sebenarnya adalah kurang tepat dengan mengucap selamat hari raya aidilfitri maaf zahir dan batin kepada rakan taulan atau ahli keluarga sama ada melalui sms ataupun facebook terutamanya bagi yang kreatif dengan gambar (edit menggunakan photoshop dll) keluarga sedondon atau gambar terpacak bersendiri dengan senyum manis dan songkok tinggi ala penari inang dengan ucapan bla..bla..bla.. tulus ikhlas dari polan si polan (semua orang ditagged), sabda Rasulullah SAW tetapi diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani r.h yang dinukilkan dari Jubair r.a katanya “apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu di Hari Raya sebahagian merka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu)”. Malahan masyarakat kita yang sinonim dengan pak turut sering mengungkapkan ungkapan “Minal Aidin Wal Faa’iziin” (eh macam bunyi lagu raya kalau tak silap), ungkapan ini sebenarnya tidak bersumberkan pada mana-mana sunnah nabi, maka diungkapkan selepas ucapan Selamat Hari Raya dan disambung dengan “Minal Aidin Wal Faa’iziin” dan dalam kepala pemahaman kita bermaksud “Maaf Zahir dan Batin” sedangkan ia tidak bermaksud sedemikian kerana ia merupakan ungkapan harapan dan doa dan ungkapan ini sebenarnya tidak lengkap dari awalnya yang sepatutnya “jaalnallahu wa iyyakum minal ai’din wal faa’iziin” yang bermaksud (semoga Allah menjadikan kami dan anda sebagai orang-orang yang kembali dan beruntung [menang]). Justeru sepatutnya kita mengungkapkan dengan lebih jelas sambil menghulurkan tangan bersalam-salaman memohon keberkatan di pagi aidilfitri.



 (iii) BERQIAMULLAIL adalah menunjukkan kita terus isitqamah dengan apa yang kita lakukan pada bulan ramadhan dan kita lakukan diluar daripada bulan ramadhan. Ini menunjukkan kita membawa kebaikan dibulan ramadhan kebulan-bulan lain bukan hanya spesifik pada bulan ramadhan.

(iv) MANDI DIPAGI RAYA disunnahkan kepada kita untuk mandi dipagi raya seperti yang diharuskan pada kita untuk mandi pada hari jumaat, hari aidiladha, hari Arafah dan Aidulfitri itu sendiri.

(v) MAKAN SEBELUM SOLAT AIDILFITRI ia adalah untuk mengelakkan perbuatan dari segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya, Rasulullah mengamalkan memakan buah kurma dengan bilangan ganjil namun sekiranya kita tidak  memakan buah kurma yang sinonim pada ramadhan (stok dah habis sebab dijadikan biskut raya) bolehlah digantikan dengan suatu yang manis dan jikalau  tiada sekurang-kurangnya air (jangan plak pekena rendang dan kari ayam berserta ketupat) dan bila makan bukan pada tahap membalas dendam kerana telah berpuasa sebulan hingga inilah saatnya makan sehingga kenyang (almaklumlah kali pertama makan pada waktu awal pagi selepas sebulan).


(vi) MEMAKAI PAKAIAN YANG INDAH juga disunnahkan kepada kita pada hari raya termasuklah juga solat sunat jumaat dan aidiladha selain memakai wangi-wangian dan bagi wanita hindarilah dari memakai baju yang agak bercorak serta memakai perhiasan berlebih-lebihan hingga menarik perhatian lelaki (bukannya apa biasanya kat jubah perempuan sekarang segala ibu dan nenek permata berlian intan payung dijahit di jubah atau baju kurung nampak glamour dan vogue gitu! belum plus tudung segala manik dan segala batu gua stalagtit dan stalagmite itu pun belum dicampur dengan batu kerikil jalan yang dilalui sepanjang ke mesjid atau surau). Jadi biarlah bersederhana.

(vii) BERJALAN KAKI MENUJU KESURAU ATAU MESJID tetapi bagi yang berkenderaan mungkin jauh ia dibolehkan dan perlulah mengikut jalan yang berbeza semasa pergi dan balik dari surau atau mesjid ini adalah untuk membolehkan kita berjumpa dengan rakan-rakan lain yang berbeza laluan dengan bersalam-salaman. Maka semakin ramailah kita boleh memberi ucapan ‘taqabbalullah minna waminka’

(viii) TEMPAT PELAKSANAAN SOLAT Aidilfitri adalah sunnah kita mengerjakan solat aidilfitri dikawasan lapang untuk memudahkan khatib melihat semua hadirin yang hadir selain mengumpul semua muslimin dan muslimat dua kali dalam setahun. 



(ix) MENGERJAKAN SOLAT AIDILFITRI merupakan perkara sunnah yang wajar kita lakukan iaitu solat sebanyak dua rakaat dan tidak ada paksaan untuk mendengar khutbah seperti dalam hadis riwayat Abu Daud “aku pernah menghadiri solat hari raya aidilfitri bersama nabi SAW setelah selesai solat baginda bersabda: sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar” (jadi bagi yang tidak sabar-sabar untuk memperagakan pakaian baju kurung atau baju melayu atau baju jubah dengan tudung yang maha cantik dan mahal bolehlah beredar atau mungkin yang ingin balik ke kampung sebelah isteri [almaklumlah isteri ada tiga orang nak ikut giliran macam mana? kalau ikut giliran tiap tahun confirm ada yang beraya kat kampung sendiri selepas lima tahun]).

(x) BERGEMBIRA PADA HARI RAYA turut disunnahkan kepada kita menunjukkan agama Islam ini bukan hanya beramal dan beribadah semata-mata juga turut bergembira diatas kemenangan melawan nafsu pada bulan ramadhan dengan kunjung mengunjungi sanak saudara dan rakan-rakan dan perlu juga dijaga adab dan tertib kita serta akhlak semasa kunjung mengunjungi dan bergembira (bukannya bermain mercun hingga menganggu ketenteraman awam kemudian putus jari atau yang bercinta mungkin ini masanya untuk mengambil potret kenangan sambil duduk serapat-rapatnya dengan buah hati almaklumlah sebulan duduk berlainan meja maka inilah masanya duduk semeja kalau tak pun dalam hati nak duduk sekerusi sebenarnya ini merupakan perbuatan yang sia-sia, nanti dah kahwin dengan orang lain, gambar dengan kekasih masa raya dulu masih dalam kenangan dan yang bodohnya berbondong-bondong gambar diupload kedalam facebook. Sisuami sekarang pun nampak gambar raya yang lepas-lepas si isteri dengan ex-boifren dulu, bukannya apa sebab akaun facebook dah lupa password dan dah buka akaun baru selepas kahwin. Kantoilah yang si isteri atau suami dulu memang hero/heroin gambar-gambar majalah Mangga).


(xi) MENGERJAKAN PUASA SUNAT ENAM kerana ia merupakan satu lagi limpahan pahala yang tidak ternilai kerana ia seperti berpuasa setahun jika melakukan puasa enam dan janganlah dicampurkan puasa enam dengan puasa qada, selain puasa enam itu boleh dilakukan secra berturut-turut tau berpisah-pisah. Namun terdapat sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa boleh dicampur puasa qada dan puasa enam tetapi perlu niat puasa qada dahulu dan kemudian niat puasa enam.

Oleh itu, Kata akhir pada saya pada entry kali ini adalah baik persediaan yang kita buat sebelum menjelang syawal adalah menambah baik amalan dan ibadah kita pada hari-hari terakhir ramadhan bukannya persediaan yang mengejar hanya pada syawal dan persediaan baik adalah untuk kita melakukan perkara-perkara sunnah yang boleh memberikan keberkatan pada diri kita sendiri dan sesama muslim… insyallah bertemu lagi pada entry akan datang! ASSALAMUALAIKUM WBT..

Saturday, August 20, 2011

Kejadian Pelik dan Lailatul Qadar

Bismillahirrahmannirrahim…
Segala puji ke atas Allah SWT yang terus memberi kita erti kehidupan sama ada berjaya atau tidak berjaya tetapi apa yang penting kita masih bernafas dengan sebaik mungkin dan diberi peluang untuk menginsafi diri dan bertaubat. Mungkin kejayaan seseorang itu adalah ujian dari Allah selagi mana adanya rasa syukur pada diri manusia manakala kegagalan juga adalah ujian dari Allah sama ada kita terus berserah dengan qada dan qadar yang ditentukan tanpa menggugat keimanan dan ketakwaan kita pada Maha Pencipta… Semoga kita mendapat kejayaan di dunia dan akhirat dan mendapat keberkatan yang berlipat kali ganda dipenghujung ramadhan ini…


‘Kejadian Pelik dan Lailatul Qadar’ merupakan entry pada kali ini… sebelum saya meneruskan dan meluahkan idea dan pandangan saya adalah baik saya berkongsi mengenai setiap penuisan yang saya catatkan pada blog ini. Setiap penulisan tidak melibatkan mana-mana pandangan dan pendapat parti politik serta penulisan ini adalah hasil cetusan idea dan pemikiran pojok yang terpulang kepada mana-mana pembaca sama ada bersetuju dengan penulisan ini atau tidak, menulis seperti ini adalah amat sukar untuk mentelaah dan menyelidik pada setiap entry kerana mengambil masa yang agak lama iaitu setiap entry akan menuntut masa sehingga 3 jam dari perjalanan seharian kehidupan ini.


Bermula dengan ramdhan ini Kejadian Pelik…setiap kali ramadhan tiba dapat kita lihat pada malam pertama terawih amatlah kurang kerana pemikiran masyarakat yang masih menyangka malam pertama ramadhan adalah selepas hari pertama berpuasa sedangkan malam pertama adalah jatuhnya pada malam sebelum puasa pertama. Maka dapatlah kita lihat hanya beberapa kerat sahaja yang menghadiri pada malam pertama terawih, mungkin juga disebabkan kesibukan masyarakat untuk bersedia bagi menyambut hari pertama ramadhan. Ini dapat saya saksikan sendiri bila sehari sebelum ramadhan berpusu-pusu orang membanjiri pasaraya dan pasar sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas. Apa yang mendukacitakan ialah apabila kebanyakan masyarakat berfikiran bahawa ramadhan adalah bulan mencari duit, bulan untuk mencari makanan yang pelik, bulan untuk mencari makanan yang sedap-sedap dan bulan untuk menghabiskan duit… sedangkan ia baru permulaan ramadhan belum tiba masa syawal lagi yang entah bagaimana tahap persediaannya…


Bila tiba malam kedua ramadhan dapatlah kita lihat bagaiamana sesaknya masjid dan surau-surau yang ada disekitarnya cuma pada malam sebegini yang hanya berlegar pada fikiran yang lagi bijak dengan masyarakat kita ialah fuh! bagaimana ramadhan pada hari esok? dapat kita ku tempuhi?, kemudian berlegar-legar lagi di kepala kita yang sedang bersolat terawih (gaya macam imam masjid tetapi dalam fikiran entah melayang kemana bukannya apa ikan bakar belum disentuh dari berbuka tadi- juga seperti penulis) kenapalah ibu bapa tak reti-reti pada bulan ramadhan ini kenapa anak-anak kecil dibawa ke masjid dan surau menghangatkan dan membingitkan suasana mengalahkan konsert DIGI atau Hotlink cuma bezanya suara dipenuhi oleh kanak-kanak riang. Dan pemikiran kita terus menelusuri apabila keluar dari masjid persoalan timbul “kasut dan selipar aku mana?” Dah kena curi pulak oleh budak-budak atau oleh orang dewasa. Keadaan ini seperti rantai kehidupan yang kita pelajari dalam sains sekolah rendah iaitu belalang dimakan tikus, tikus dimakan ular dan ular dimakan helang, begitu juga halnya dengan selipar. Selipar si A hilang di curi, maka si A pulak ‘mengambil’ (kira curi jugaklah) selipar si B, si B pula ‘mengambil’ selipar si C maka hinggalah pada peringkat terakhir si Z yang membuat keputusan untuk ‘mengambil’ selipar atau kasut ketua menteri atau YB datang berterawih... ketua menteri dan YB terpaksa redha dengan keadaan tersebut dahlah kasut atau selipar di beli dari luar negara dibuat dari kulit entah apa-apa entah maka senyum kambinglah VIP tersebut walaupun dalam hati meyumpah serana bukannya apa selipar atau kasut hasil dari duit projek yang baru lulus minggu lepas. Namun, ia terhenti sekiranya salah seorang tidak ‘mengambil’ mana-mana kasut atau selipar bagi yang kehilangan, maksudnya redha dengan berkaki ayam dahlah parking kereta dihujung kampung yang becak jadi tukarlah niat untuk menunjukkan kita sabar dan redha dengan mensedekahkah selipar yang hilang ajaib!



Bila berada di sepuluh malam terakhir maka Kejadian Pelik… berpusu-pusu pulak masyarakat kita meraikan syawal yang akan tiba sedangkan ramadhan belum say hi bye-bye, FACEBOOK seperti biasa dipenuhi dengan post ucapan memohon keampunan dan bermaaf-maafan manakala pada yang riak segala jenis biskut raya sudah mula diupload nak tunjuk pada friends atau rakan taulan sedangkan yang yatim piatu dan yang miskin hanya melihat sederetan biskut raya tersadai di pasaraya hanya sekadar mampu melihat mengharapkan ihsan dan kasih sayang sesama islam… hairan bin ajaib sedangkan yang pakar memasak seperti chef Wan tidak pula riak untuk menunjuk biskut dan lauk yang dimasak pada syawal nanti. Itu belum lagi yang nak tunjuk berbuka kat hotel sorry to say sekarang makan kat hotel atau restoran mewah (dining restaurant) sudah menjadi perkara biasa dah orang Malaysia kaya duit dan kaya riak berbanding kaya pada syukur pada Allah, jadi kalau berbuka dihotel atau restoran mewah tu cukup-cukuplah nak menghebohkan ok ingatlah pada yang miskin dan anak yatim cukuplah takbur dan riak pada bulan-bulan lain… salah satu hadis qudsi Rasulullah mengungkapkan
“Allah memberi kasih sayang seratus bahagian, Sembilan puluh Sembilan bahagian ditahan untuk sementara dan satu bahagian diturunkan kebumi. Dari satu bahagian itulah seluruh makhluk hidup berkasih sayang, hinggakan kamu dapat melihat binatang mengangkat kakinya kerana khuatir terpijak anaknya”
Facebookers pulak heboh nak memperkatakan malam lailatul qadar dan berbincang mengenai lailatul qadar sedangkan semuanya itu ketentuan tuhan, apa yang paling penting ssaaannggaattt! teruskan beribadah dengan lebih banyak bukannya meneka seperti tukang tenung di zaman jahiliyah atau tukang tilik seperti seekor sotong kurita bernama PAUL semasa piala dunia lepas... “semalam rasanya lailatul qadar tengok cuaca semalam tengok pokok tu macam sujud suasana pun sunyi sepi bintang tak nampak” SUDAH CUKUP dan HENTIKAN PERBUATAN DEMIKIAN! bukannya apa ramai yang membincangkan tetapi kurang yang memperbanyakkan amalan, malahan ada yang memperkatakan kemakbulan doa pada turunnya lailatul qadar maka berkata-katalah dengan rakan-rakan yang lain “saya nak berdoa dapat jodohlah manalah tau dapat artis, tuhan makbulkan tak kalau minta macam tu?” seorang rakan lain pula dengan seloroh” kalau berdoa dapat PS3 rasanya makbul ker doa saya?” maka yang seorang lagi berkongsi “saya nak doa dapat kereta baru Nissan Skyline dan naik pangkat rasanya boleh makbul” tapi pada akhirnya sepuluh orang yang menunggu dan berkata-kata pasal keinginan mereka tewas pada malam yang hening dengan bantal empuk yang penuh liur dengan perut yang kembang kempis kekenyangan pekena cendol 4 mangkuk dan nasi beriyani gam dua tapau... mungkin hanya seorang yang sentiasa terjaga dari tidur bila hatinya sentiasa mengingati Allah. Jadi yang sembilan seperti si luncai yang terjun dengan labu-labunya..



Maka apa yang penting pada malam sepuluh terakhir ramadhan ialah memperbanyakkan ibadah, mengingati Allah, bermuhasabah diri, dan melakukan tahajud kerana satu daripada pertiga malam bila kita melakukan tahajud itulah saatnya Allah amat hampir dengan kita, malahan Allah itu sentiasa berada dekat dengan kita sekiranya kita mencari Allah bukannya terpinga-pinga berbincang untuk MENILIK BILA MALAM LAILATUL QADAR. Imam Bukhari pernah meriwayatkan sebuah hadis qudsi daripada Anas r.a.
Sabda Rasulullah SAW bahawa Allah SWT berfirman:
“Apabila hambaKu menghampiriKu sekadar sejengkal akan Ku hampirinya sehasta, apabila hambaKu menghampiriKu sehasta akan Ku hampirinya sedepa dan apabila dia mendatangi-Ku dengan berjalan Aku akan mendatanginya berlari”.


Justeru pada penghujung ramadhan dan sepuluh malam yang diturunkan Lailatul Qadar adalah baik untuk kita semakin memperbanyakkan ibadah kerana adakah ramadhan ini merupakan ramadhan terakhir yang akan kita sambut… ramai yang bersedih dengan ramadhan yang bakal menutup harinya tetapi janganlah kesedihan itu kerana kesedihan disebabkan kemeriahan berbuka puasa dengan rakan-rakan, janganlah kesedihan itu kerana juadah yang pelik-pelik sukar ditemui lagi, janganlah kesedihan itu disebabkan keseronokan untuk berbelanja tetapi biarlah kesedihan itu kerana Allah SWT telah menamatkan tempoh kita beribadah yang mana pahala digandakan hingga ke 700 kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain… dan bersedihlah sama ada amalam kita pada ramadhan ini diterima Allah atau hanya sekadar lapar dan dahaga dan keseronokan dan kemeriahan ber’facebook’.. maka bila kita bermuhasabah diri kita akan memperbanyakkan amalan di penghujung ramadhan bukan menjadi nujum Pak Belalang yang menilik esok malam agaknya lailatul qadar atau malam semalam… 


Oleh itu, akhir kata dari saya pada entry kali ini semoga dipenghujung ramadhan pada tahun 2011 akan memberikan kita taufik untuk terus kuat beramal dan memberikan hidayahNya untuk mentauhidkan pada Allah yang Esa… semoga perkongsian ini dapat memberikan sedikit rasa risau berapa banyak amalan yang kita lakukan dipenghujung ramadhan. Sedikit info mengenai Lailatul Qadar tetapi janganlah kita memilih dan menilik bila turunnya malam Lailatul Qadar tetapi semakin kita memperkuatkan diri untuk beramal pada akhir sepuluh ramadhan.. 

“barangsiapa yang berqiam pada malam Al-Qadar dengan beriman dan penuh pengharapan, Allah akan mengampunkan dosanya yang lalu” (Hadis Riwayat Bukhari)
“carilah ia pada sepuluh malam terakhir, jika salah seorang dari kamu dhaef (lemah) atau uzur, maka janganlah dikalah pada tujuh malam yang berbaki” (Hadis diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, dari Ibn Umar ra)
-Abi Ibnu Ka’ab telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda mengenai lailatul qadar ertinya: sesungguhnya matahari yang keluar pada hari itu tidak begitu bercahaya (suram)-(hadis riwayat imam Muslim)
-Telah diriwayatkan nabi SAW bahawa baginda telah bersabda yang ertinya: sesungguhnya tanda-tanda lailatul qadar, bahawa pada malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruang bagi bintang untuk timbul sehingga subuh, dan sesungguhnya tanda-tandanya matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam purnama tidak membenarkan untuk syaitan keluar keluar bersama pada hari itu” (hadis riwayat Imam Ahmad dengan Isnad jayyid daripada Ibadah bin As-somit)
-Dalam Mu’jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Aqsa’ daripada Rasulullah SAW telah bersabda ertinya: Malam lailatul qadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya (suram).


WALAU APA PUN MARILAH KITA MEMPERBANYAKKAN IBADAH KITA PADA PENGHUJUNG RAMADHAN INI JANGANLAH ASYIK MEMBINCANGKAN BILAKAH TURUNNYA LAILATUL QADAR ATAU MENILIK DAN MENEKA LAILATUL QADAR TETAPI BERUSAHALAH DENGAN MEMPRAKTIKKAN AMALAN DAN IBADAH PADA MALAM SEPULUH TERAKHIR YANG JARANG DAN KADANG-KANDANG KITA LAKUKAN. SAYA TIDAK MENGHALANG MENCARI LAILATUL QADAR, CARILAH LAILATUL QADAR TAPI HENTIKANLAH MENILIK DAN MENEKA DENGAN BERBICARA HINGGA KITA SENDIRI LALAI UNTUK BERAMAL DAN BERIBADAH PADA MALAM HARINYA…
SEMOGA KITA BEROLEH KESEJAHTERAAN… ASSALAMUALAIKUM WBT…

Wednesday, August 17, 2011

Nuzul Quran dan Semangat Kemerdekaan

Bismillahirrahmanirrahim.... Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihi....

Bersatulah Untuk Menegakkan Agama Allah


Nur Al-Quran akan menerangi wajah-wajah seorang insan
Mulakan dengan Al-fatiha

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan Ummah.... semoga para pembaca dan blogers mendapat hidayah dan mendapat rahmat Allah SWT di dunia dan di hari penghitungan kelak... 

Hayati dan Mengamalkan

Entry pada kali ini bersempena dengan nuzul quran dan juga kematian... semua hampir maklum bahawa surah pertama yang diturunkan ialah di gua hira yang tidak banyak berbeza dengan mana-mana gua kecil... Allah tidak memilih suatu tempat yang istimewa atau tempat yang mewah bagi menurunkan wahyu pertama yang di bawa oleh Jibril... Gua Hira hanya memuatkan dalam dua atau tiga orang yang mana dari gua ini kita boleh melihat masjidil haram dan juga masjid nabawi... itulah yang dimuliakan oleh Allah menunjukkan keberkatan kepada ajaran Islam... 





Terdapat dua pendapat yang menyatakan bilakah Al quran diturunkan iaitu pada malam isnin bersamaan 17 ramadhan (6 Ogos 610 Masihi) dan pendapat kedua iaitu pada 24 ramadhan (13 Ogos 610 masihi). Namun ramai yang berpendapat pada tarikh kedua bersesuaian dengan surah al-qadr ayat 1 dan surah ad-dhukan ayat 1-4. meskipun di Malaysia ia sambut pada 17 ramadhan namun kedua-dua tarikh tersebut bukan satu persoalan besar, tetapi persoalannya ialah bagaimana kita menghayati al-quran dan mengamalkan segala isi kandungannya yang merupakan salah satu mukjizat Rasulullah SAW yang boleh kita lihat hingga ke hari ini dengan mata kasar berbanding dengan mukjizat Nabi Musa AS, Nabi Isa AS, Nabi Sulaiman AS dan nabi-nabi lain..



Perkataan Nuzul bermaksud turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bermula surah Al-Alaq yang diturunkan kepada Rasulullah SAW pada bulan ramadhan dan beberapa pendapat menyatakan bahawa surah ini diturunkan pada malam lailatulqadar dengan keadaan Rasulullah yang terkejut dengan perjumpaan malaikat Jibril. Dari kejadian ini dapat kita saksikan peranan Siti Khadijah sebagai seorang isteri yang menenangkan nabi Allah dan mententeramkan agar Rasulullah SAW berada dalam keadaan yang sebaiknya... Dijelaskan wahyu datang kepada baginda seperti gemerincing loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan oleh baginda. Kadang-kadang pada kening baginda terpercik peluh walaupun wahyu turun pada musim dingin. Kadang-kadang unta baginda terpaksa berhenti dari berjalan dan terduduk kerana merasa amat berat sekiranya ketika wahyu diturunkan, baginda sedang menunggang unta. Sebagai penulis wahyu, Zaid bin Sabit diriwayatkan berkata: “Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Aku lihat ketika turunnya wahyu, Rasulullah yang menerimanya seakan-akan diserang demam yang teruk dan peluh baginda bercucuran seperti permata. Setelah selesai turunnya wahyu, barulah baginda kembali seperti biasa”.

senjata seorang muslim adalah melalui doanya!


Malahan, amatlah maha berkuasa Allah SWT yang menurunkan alquran selama 22 tahun 2 bulan 22 hari, yakni 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah kerana itulah sekiranya kita menginginkan diri kita diberi hidayah dan diberi keinsafan untuk melakukan turning point adalah baik untuk kita membaca ayat-ayat yang diturunkan di Mekah kerana pada masa Rasulullah berada di mekah kebanyakan adalah untuk mengajak umat manusia menyembah Allah dan bertaubat... 


Umumnya di Malaysia berduyun-duyun manusia untuk menghadiri ceramah dan mengadakan ceramah tetapi berapa ramai yang menghayati alquran itu sendiri? adalah satu kesilapan kita menghayati hari dan waktu alquran itu diturunkan kerana kita hanya menghayati hanya pada satu hari iaitu pada 17 ramadhan berbanding jika kita menghayati alquran maka sepanjang hidup 365 hari di darab dengan umur kita maka sepanjang itulah alquran berada di dalam kalbu sanubari dan hati kita...


Justeru secara kebetulan pada tahun ini  ramadhan dan nuzul alquran serta kemerdekaan berada dibulan yang sama, kemerdekaan yang bakal tiba pada 31 hb ogos disambut tidak lama lagi dan kebetulan jatuh di penghujung bulan ramadhan... maka semangat kita pada tahun ini ialah semangat menyambut ramadhan yang menghadiahkan pahala yang berlipat ganda dan kemerdekaan yang menunjukkan kita bebas dari belenggu penjajah dan pemikiran yang dijajah yang selama ini hingga memunculkan semangat nasioanalisme.. sebelum ini saya membaca penulisan seorang ahli agama yang menegaskan bahawa semangat NASIONALISME yang ada pada masyarakat sekarang merupakan satu penyakit ke arah kegopohan dan ke arah kehancuran agama islam itu sendiri! kenapa? mesti semua mempunyai pendapat masing-masing... persoalan pokok ialah... BUKANKAH SEMANGAT NASIOANLISME PENTING KE ARAH PEMBENTUKAN SEBUAH NEGARA? maka jawapannya juga berbentuk soalan ringkas adakah zaman Rasulullah SAW baginda meniupkan semangat nasionalisme pada para sahabat dan umat mukiminin semasa melakukan hijrah dan semasa menakluki Mekah? jawapan TIDAK! TIDAK SAMA SEKALI! Rasulullah SAW meniupkan SEMANGAT ISLAM pada para sahabat melalui aqidah LAA ILAHA ILLA ALLA.



Sedangkan talian komunikasi pun boleh bersama apakan lagi seorang manusia dengan manusia lain

Maka pada hari ini kita disogok dengan pelbagai fahaman seperti komunisme, sosialisme, kapitalisme, liberalisme dan nasionalisme... semuanya ini dipengaruhi oleh fahaman Yahudi.... Kenapa Yahudi? sedarkah kita bahawa yahudi tidak ada semangat nasionalisme pada diri mereka tetapi yang ada ialah semangat KEYAHUDIAN pada diri laknatullah ini... letaklah orang yahudi dimana-mana dimuka bumi ini maka semangat Yahudi tetap subur dan senitasa bantu membantu dengan yahudi yang lain... sama ada yahudi di AS atau Yahudi di Eropah ia tetap sama. 




Ketika pemerintahan khalifah Islamiyyah masih tegak dan menaungi kehidupan sosialisasi pada masa tersebut, mereka hanya menghayati bahwa hanya aqidah Islam Laa ilaha illa Allah saja yang mempersatukan mereka satu sama lain. maka tidak hairanlah leburnya pemisah seperti sahabat Abu Bakar yang Arab dengan Salman yang berasal dari Persia dengan Bilal yang orang Ethiopia dengan Shuhaib yang berasal dari bangsa Romawi.  Mereka hanya mengiktiraf persaudaraan dan kasih sayang yang menembus batas-batas kaum, bangsa, warna kulit, asal tanah-air dan bahasa.  Mengapa? kerana semuanya berlandaskan ketakwaan pada Allah!

”Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” (QS Az-Zukhruf ayat 67).

”Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dalam jamaah, dan janganlah kamu bercerai berai.” (QS Ali Imran ayat 103).




semangat Nasionalisme di canai oleh manusia di bentuk dengan segala baik mungkin agar merendah-rendahkan semangat ketakwaan pada Allah... lihatlah pada 31 hb Ogos segala bendera negeri dan Malaysia di kibarkan menunjukkan semangat nasionalisme kita tetapi manakah semangat panji-panji hitam Allah yang akan bangkit! bersatulah menjadi seorang umat Islam dan pertahankan negara Malaysia sebagai negara Islam! dan bila negara kita diketuai oleh pimpinan bukan Islam (tidak merujuk pada mana-mana parti politik) adakah anda meyakini Islam akan di bela! jangan kerana kepentingan politik kita kutuk sesama umat islam, kita mengkafirkan sesama umat islam tetapi kita boleh pula bersekongkol dengan yang bukan Islam malahan hanya tunduk diam membisu apabila si Sang Kafir mewar-warkan kepimpinannya... ingatlah di Malaysia kita bukan memegang perniagaan seperti kaum lain.. jadi kita mudah untuk diperkotak katikkan...





Justeru, sewaktu umat Islam hidup di bawah naungan Syariat Allah dalam Khilafah Islamiyyah mereka tidak mengenal bentuk ikatan kehidupan sosial selain Al-Islam. Mereka tidak pernah membangga-banggakan perbezaan suku dan bangsa satu sama lain. Betapa pun realiti suku dan bangsa memang tetap wujud, tetapi ia tidak pernah mengalahkan kuatnya ikatan aqidah di dalam masyarakat. Kita boleh teliti dengan pemikiran kita yang maha bijak lagi bodoh apabila masing-masing negara kaum muslimin mengikuti jejak langkah negara Turki yang disekularkan oleh Mustapha Kamal Atarturk, maka kita mula mengikut jejak langkah dunia barat yang hidup dengan membanggakan Nasionalisme masing-masing. Sedangkan bangsa-bangsa Barat tidak pernah benar-benar berhasil membangun soliditi sosial melalui man-made ideologi tersebut. Akhirnya umat Muslim mulai sibuk mencari-cari identiti Nasionalisme masing-masing. Justeru orang Malaysia lebih bangga dengan keMelayuanlaysia nya daripada ke-Islamannya. Bangsa Mesir bangga dengan keMesirannya. Bangsa Saudi bangga dengan bangsa Arabnya.



Oleh itu, marilah kita mengambil ikhtibar diatas apa yang berlaku pada negara-negara yang sebelum ini di timpa dengan pelbagai musibah dan segala mala petaka.. bersatulah para pembaca Islam sekalian sempena di bulan ramadhan dan di bulan kemerdekaan ini jangan jadikan diri kita disirami dengan semangat nasioanlisme yang menebal berbanding dengan semangat ketakwaan yang kita pinggirkan. SEKIRANYA SEMANGAT NASIONALISME KITA LEBIH TEBAL BERBANDING DENGAN SEMANGAT KESILAMAN KITA, HANYA INI YANG DAPAT SAYA SAMPAIKAN PADA AKHIR ENTRY INI... RENUNGKANLAH! 

Abu Daud dan at-Tirmidzi meriwayatkan dari Abu Hurairah
 Rasulullah SAW bersabda: 
'Hendaklah semua kaum berhenti membanggakan diri dengan bapak-bapak (nenek moyang) mereka yang telah meninggal dunia. Sesungguhnya mereka adalah arang dari arang neraka jahanam atau (bila mereka tidak berhenti dari hal itu) mereka menjadi lebih hina di sisi Allah dari pada ju'l (nama binatang sejenis kumbang) yang membolak-balik kotoran dengan hidungnya. Sesungguhnya Allah telah menghilangkan darimu kesombongan masa jahiliyah dan kebanggaan dengan bapak-bapak. Sesungguhnya ia adalah seorang mukmin yang bertaqwa atau seorang fasik yang celaka. Semua manusia adalah keturunan Adam dan Adam berasal dari tanah

Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak ada keutamaan bagi bangsa arab atas bangsa ajam (non arab), dan tidak ada keutamaan bagi yang berkulit hitam atas yang berkulit merah kecuali dengan taqwa." Hadis Riwayat Ahmad. 

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal" (QS. Al-Hujuraat:13)

Sekian... Assalamualaikum dan Salam Perpaduan Ummah!