Saturday, August 20, 2011

Kejadian Pelik dan Lailatul Qadar

Bismillahirrahmannirrahim…
Segala puji ke atas Allah SWT yang terus memberi kita erti kehidupan sama ada berjaya atau tidak berjaya tetapi apa yang penting kita masih bernafas dengan sebaik mungkin dan diberi peluang untuk menginsafi diri dan bertaubat. Mungkin kejayaan seseorang itu adalah ujian dari Allah selagi mana adanya rasa syukur pada diri manusia manakala kegagalan juga adalah ujian dari Allah sama ada kita terus berserah dengan qada dan qadar yang ditentukan tanpa menggugat keimanan dan ketakwaan kita pada Maha Pencipta… Semoga kita mendapat kejayaan di dunia dan akhirat dan mendapat keberkatan yang berlipat kali ganda dipenghujung ramadhan ini…


‘Kejadian Pelik dan Lailatul Qadar’ merupakan entry pada kali ini… sebelum saya meneruskan dan meluahkan idea dan pandangan saya adalah baik saya berkongsi mengenai setiap penuisan yang saya catatkan pada blog ini. Setiap penulisan tidak melibatkan mana-mana pandangan dan pendapat parti politik serta penulisan ini adalah hasil cetusan idea dan pemikiran pojok yang terpulang kepada mana-mana pembaca sama ada bersetuju dengan penulisan ini atau tidak, menulis seperti ini adalah amat sukar untuk mentelaah dan menyelidik pada setiap entry kerana mengambil masa yang agak lama iaitu setiap entry akan menuntut masa sehingga 3 jam dari perjalanan seharian kehidupan ini.


Bermula dengan ramdhan ini Kejadian Pelik…setiap kali ramadhan tiba dapat kita lihat pada malam pertama terawih amatlah kurang kerana pemikiran masyarakat yang masih menyangka malam pertama ramadhan adalah selepas hari pertama berpuasa sedangkan malam pertama adalah jatuhnya pada malam sebelum puasa pertama. Maka dapatlah kita lihat hanya beberapa kerat sahaja yang menghadiri pada malam pertama terawih, mungkin juga disebabkan kesibukan masyarakat untuk bersedia bagi menyambut hari pertama ramadhan. Ini dapat saya saksikan sendiri bila sehari sebelum ramadhan berpusu-pusu orang membanjiri pasaraya dan pasar sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas. Apa yang mendukacitakan ialah apabila kebanyakan masyarakat berfikiran bahawa ramadhan adalah bulan mencari duit, bulan untuk mencari makanan yang pelik, bulan untuk mencari makanan yang sedap-sedap dan bulan untuk menghabiskan duit… sedangkan ia baru permulaan ramadhan belum tiba masa syawal lagi yang entah bagaimana tahap persediaannya…


Bila tiba malam kedua ramadhan dapatlah kita lihat bagaiamana sesaknya masjid dan surau-surau yang ada disekitarnya cuma pada malam sebegini yang hanya berlegar pada fikiran yang lagi bijak dengan masyarakat kita ialah fuh! bagaimana ramadhan pada hari esok? dapat kita ku tempuhi?, kemudian berlegar-legar lagi di kepala kita yang sedang bersolat terawih (gaya macam imam masjid tetapi dalam fikiran entah melayang kemana bukannya apa ikan bakar belum disentuh dari berbuka tadi- juga seperti penulis) kenapalah ibu bapa tak reti-reti pada bulan ramadhan ini kenapa anak-anak kecil dibawa ke masjid dan surau menghangatkan dan membingitkan suasana mengalahkan konsert DIGI atau Hotlink cuma bezanya suara dipenuhi oleh kanak-kanak riang. Dan pemikiran kita terus menelusuri apabila keluar dari masjid persoalan timbul “kasut dan selipar aku mana?” Dah kena curi pulak oleh budak-budak atau oleh orang dewasa. Keadaan ini seperti rantai kehidupan yang kita pelajari dalam sains sekolah rendah iaitu belalang dimakan tikus, tikus dimakan ular dan ular dimakan helang, begitu juga halnya dengan selipar. Selipar si A hilang di curi, maka si A pulak ‘mengambil’ (kira curi jugaklah) selipar si B, si B pula ‘mengambil’ selipar si C maka hinggalah pada peringkat terakhir si Z yang membuat keputusan untuk ‘mengambil’ selipar atau kasut ketua menteri atau YB datang berterawih... ketua menteri dan YB terpaksa redha dengan keadaan tersebut dahlah kasut atau selipar di beli dari luar negara dibuat dari kulit entah apa-apa entah maka senyum kambinglah VIP tersebut walaupun dalam hati meyumpah serana bukannya apa selipar atau kasut hasil dari duit projek yang baru lulus minggu lepas. Namun, ia terhenti sekiranya salah seorang tidak ‘mengambil’ mana-mana kasut atau selipar bagi yang kehilangan, maksudnya redha dengan berkaki ayam dahlah parking kereta dihujung kampung yang becak jadi tukarlah niat untuk menunjukkan kita sabar dan redha dengan mensedekahkah selipar yang hilang ajaib!



Bila berada di sepuluh malam terakhir maka Kejadian Pelik… berpusu-pusu pulak masyarakat kita meraikan syawal yang akan tiba sedangkan ramadhan belum say hi bye-bye, FACEBOOK seperti biasa dipenuhi dengan post ucapan memohon keampunan dan bermaaf-maafan manakala pada yang riak segala jenis biskut raya sudah mula diupload nak tunjuk pada friends atau rakan taulan sedangkan yang yatim piatu dan yang miskin hanya melihat sederetan biskut raya tersadai di pasaraya hanya sekadar mampu melihat mengharapkan ihsan dan kasih sayang sesama islam… hairan bin ajaib sedangkan yang pakar memasak seperti chef Wan tidak pula riak untuk menunjuk biskut dan lauk yang dimasak pada syawal nanti. Itu belum lagi yang nak tunjuk berbuka kat hotel sorry to say sekarang makan kat hotel atau restoran mewah (dining restaurant) sudah menjadi perkara biasa dah orang Malaysia kaya duit dan kaya riak berbanding kaya pada syukur pada Allah, jadi kalau berbuka dihotel atau restoran mewah tu cukup-cukuplah nak menghebohkan ok ingatlah pada yang miskin dan anak yatim cukuplah takbur dan riak pada bulan-bulan lain… salah satu hadis qudsi Rasulullah mengungkapkan
“Allah memberi kasih sayang seratus bahagian, Sembilan puluh Sembilan bahagian ditahan untuk sementara dan satu bahagian diturunkan kebumi. Dari satu bahagian itulah seluruh makhluk hidup berkasih sayang, hinggakan kamu dapat melihat binatang mengangkat kakinya kerana khuatir terpijak anaknya”
Facebookers pulak heboh nak memperkatakan malam lailatul qadar dan berbincang mengenai lailatul qadar sedangkan semuanya itu ketentuan tuhan, apa yang paling penting ssaaannggaattt! teruskan beribadah dengan lebih banyak bukannya meneka seperti tukang tenung di zaman jahiliyah atau tukang tilik seperti seekor sotong kurita bernama PAUL semasa piala dunia lepas... “semalam rasanya lailatul qadar tengok cuaca semalam tengok pokok tu macam sujud suasana pun sunyi sepi bintang tak nampak” SUDAH CUKUP dan HENTIKAN PERBUATAN DEMIKIAN! bukannya apa ramai yang membincangkan tetapi kurang yang memperbanyakkan amalan, malahan ada yang memperkatakan kemakbulan doa pada turunnya lailatul qadar maka berkata-katalah dengan rakan-rakan yang lain “saya nak berdoa dapat jodohlah manalah tau dapat artis, tuhan makbulkan tak kalau minta macam tu?” seorang rakan lain pula dengan seloroh” kalau berdoa dapat PS3 rasanya makbul ker doa saya?” maka yang seorang lagi berkongsi “saya nak doa dapat kereta baru Nissan Skyline dan naik pangkat rasanya boleh makbul” tapi pada akhirnya sepuluh orang yang menunggu dan berkata-kata pasal keinginan mereka tewas pada malam yang hening dengan bantal empuk yang penuh liur dengan perut yang kembang kempis kekenyangan pekena cendol 4 mangkuk dan nasi beriyani gam dua tapau... mungkin hanya seorang yang sentiasa terjaga dari tidur bila hatinya sentiasa mengingati Allah. Jadi yang sembilan seperti si luncai yang terjun dengan labu-labunya..



Maka apa yang penting pada malam sepuluh terakhir ramadhan ialah memperbanyakkan ibadah, mengingati Allah, bermuhasabah diri, dan melakukan tahajud kerana satu daripada pertiga malam bila kita melakukan tahajud itulah saatnya Allah amat hampir dengan kita, malahan Allah itu sentiasa berada dekat dengan kita sekiranya kita mencari Allah bukannya terpinga-pinga berbincang untuk MENILIK BILA MALAM LAILATUL QADAR. Imam Bukhari pernah meriwayatkan sebuah hadis qudsi daripada Anas r.a.
Sabda Rasulullah SAW bahawa Allah SWT berfirman:
“Apabila hambaKu menghampiriKu sekadar sejengkal akan Ku hampirinya sehasta, apabila hambaKu menghampiriKu sehasta akan Ku hampirinya sedepa dan apabila dia mendatangi-Ku dengan berjalan Aku akan mendatanginya berlari”.


Justeru pada penghujung ramadhan dan sepuluh malam yang diturunkan Lailatul Qadar adalah baik untuk kita semakin memperbanyakkan ibadah kerana adakah ramadhan ini merupakan ramadhan terakhir yang akan kita sambut… ramai yang bersedih dengan ramadhan yang bakal menutup harinya tetapi janganlah kesedihan itu kerana kesedihan disebabkan kemeriahan berbuka puasa dengan rakan-rakan, janganlah kesedihan itu kerana juadah yang pelik-pelik sukar ditemui lagi, janganlah kesedihan itu disebabkan keseronokan untuk berbelanja tetapi biarlah kesedihan itu kerana Allah SWT telah menamatkan tempoh kita beribadah yang mana pahala digandakan hingga ke 700 kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain… dan bersedihlah sama ada amalam kita pada ramadhan ini diterima Allah atau hanya sekadar lapar dan dahaga dan keseronokan dan kemeriahan ber’facebook’.. maka bila kita bermuhasabah diri kita akan memperbanyakkan amalan di penghujung ramadhan bukan menjadi nujum Pak Belalang yang menilik esok malam agaknya lailatul qadar atau malam semalam… 


Oleh itu, akhir kata dari saya pada entry kali ini semoga dipenghujung ramadhan pada tahun 2011 akan memberikan kita taufik untuk terus kuat beramal dan memberikan hidayahNya untuk mentauhidkan pada Allah yang Esa… semoga perkongsian ini dapat memberikan sedikit rasa risau berapa banyak amalan yang kita lakukan dipenghujung ramadhan. Sedikit info mengenai Lailatul Qadar tetapi janganlah kita memilih dan menilik bila turunnya malam Lailatul Qadar tetapi semakin kita memperkuatkan diri untuk beramal pada akhir sepuluh ramadhan.. 

“barangsiapa yang berqiam pada malam Al-Qadar dengan beriman dan penuh pengharapan, Allah akan mengampunkan dosanya yang lalu” (Hadis Riwayat Bukhari)
“carilah ia pada sepuluh malam terakhir, jika salah seorang dari kamu dhaef (lemah) atau uzur, maka janganlah dikalah pada tujuh malam yang berbaki” (Hadis diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, dari Ibn Umar ra)
-Abi Ibnu Ka’ab telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda mengenai lailatul qadar ertinya: sesungguhnya matahari yang keluar pada hari itu tidak begitu bercahaya (suram)-(hadis riwayat imam Muslim)
-Telah diriwayatkan nabi SAW bahawa baginda telah bersabda yang ertinya: sesungguhnya tanda-tanda lailatul qadar, bahawa pada malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruang bagi bintang untuk timbul sehingga subuh, dan sesungguhnya tanda-tandanya matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam purnama tidak membenarkan untuk syaitan keluar keluar bersama pada hari itu” (hadis riwayat Imam Ahmad dengan Isnad jayyid daripada Ibadah bin As-somit)
-Dalam Mu’jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Aqsa’ daripada Rasulullah SAW telah bersabda ertinya: Malam lailatul qadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya (suram).


WALAU APA PUN MARILAH KITA MEMPERBANYAKKAN IBADAH KITA PADA PENGHUJUNG RAMADHAN INI JANGANLAH ASYIK MEMBINCANGKAN BILAKAH TURUNNYA LAILATUL QADAR ATAU MENILIK DAN MENEKA LAILATUL QADAR TETAPI BERUSAHALAH DENGAN MEMPRAKTIKKAN AMALAN DAN IBADAH PADA MALAM SEPULUH TERAKHIR YANG JARANG DAN KADANG-KANDANG KITA LAKUKAN. SAYA TIDAK MENGHALANG MENCARI LAILATUL QADAR, CARILAH LAILATUL QADAR TAPI HENTIKANLAH MENILIK DAN MENEKA DENGAN BERBICARA HINGGA KITA SENDIRI LALAI UNTUK BERAMAL DAN BERIBADAH PADA MALAM HARINYA…
SEMOGA KITA BEROLEH KESEJAHTERAAN… ASSALAMUALAIKUM WBT…

No comments:

Post a Comment