Wednesday, August 24, 2011

Apa Ucapan Aidilfitri, Lupakan Ramadhan?, Zakat dan Persediaan Syawal


Bismillahirrahmanirrahim
Segala puji dan Syukur kepada Allah SWT yang memberikan berkah dan rahmat kepada seluruh makhluk yang berada di atas hamparan muka bumi milik Allah ini… Assalamualaikum dan Salam Perpaduan Ummah kepada umat muslimin dan muslimat yang sekarang berada dipenghujung ramadhan.


Apa Ucapan Aidilfitri, Lupakan Ramadhan?, Zakat Dan Persedian Syawal adalah tajuk entry seorang pemikir? pada kali ini. Syawal akan menjelang tiba maka bermulalah episode baru seorang insan yang mungkin ada membawa perubahan dalam diri dan tidak kurang yang tidak ada perubahan iaitu masih berada ditakuk lama. Sebelum memulakan penulisan saya yang tidak seberapa dan lagi pojok ini mungkin lebih baik saya kendurkan sedikit hati dan minda pembaca serta blogger2 sekalian dengan sedikit sajak…
Di Keheningan subuh akhir ramadhan ini…
Izinkan saya melafazkan sebuah bicara…
Lantas saya terkenang pada sebuah memori indah
Yang tidak pernah luput dihati yang maha kecil ini
Itulah….
Irama Puasaku di siang hari…
Irama Zikirku di waktu hening…
Senandung tasbihku di kala senja…
Ibadah tarawihku bila bulan menampakkan dirinya…
Dan Kasih Tahajudku di malam yang pekat…
 Akankah semua ini berkumandang dan bertemu sekali lagi
 Insyallah ku pohon bertemu di Ramadhan akan datang?

Sajak tersebut hanya sepintas lalu untuk mengenangkan ramadhan yang akan kita tinggalkan dan adakah kita akan beramal sebanyak dan sebaik mungkin dan dapat bertemu sekali lagi seperti ini pada tahun akan datang? Atau kita mungkin dijemput oleh Maha Pencipta… No One Knows.. hanya Allah yang Maha Mengetahui…

Apabila syawal mula menyingkapkan dirinya maka kita semakin berpusu-pusu mula menjalankan ‘ibadah duniawi’ yang mungkin juga menyebabkan kita lupa dan mula kelihatan nyanyuk… dari siang hingga ke malam kita mula bertasbih dengan wang ringgit, kita mula berzikir dengan kira-kira, kita mula beramal dengan dipenuhi segala beg kertas dan beg plastik di kedua-dua belang tangan seperti kiamat akan tiba dan inilah masanya untuk membeli segala bekalan dan barang keperluan untuk kiamat. Ramai daripada kita melakukan amal ibadah ‘tawaf’ dari satu kedai ke satu kedai, dari satu kompleks membeli-belah ke satu kompleks membeli-belah lain hingga kita terlupa kita masih berada di bulan Ramadhan. Terawih mula kita pinggirkan, tahajud kita mula di beri salam malahan zohor dan asar serta maghrib hanya bersolat melalui pandangan dengan melihat mesjid atau surau yang hanya dihadiri dua kerat atau tiga kerat saf makmum. Dalam  kereta pun tidak ada lagi alunan tasbih atau zikir tetapi lebih teruja dengan lagu S. Jibeng, DJ Dave setidak-tidaknya lagu P.Ramli atau Sudirman Balik Kampung sambil kita menyanyi sama (adakalanya penulis juga turut menyanyi sama bukannya apa suka dengar lagu sepasang kurung nan biru).


Di bonet kereta segala barang telah dibeli dari hujung rambut hingga hujung kaki tidak ada yang kurang bagi yang ‘maha kaya’ baju melayu tiga hingga empat pasang (sepasang hingga dua tiga ratus ringgit) alangkah baiknya kalau sepertiga nilai harga dari sepasang baju atau sepertiga nilai kesemua baju melayu disedekahkan kepada fakir miskin atau anak yatim sekurang-kurangnya mereka juga mengikut sunnah Nabi SAW dengan memakai baju baru di pagi syawal.  Bagi yang Hawa harga tudung seperti harga 7 buah telefon bimbit nokia 3310 malahan baju jubah atau baju kurung sama harga dengan perbelanjaan biskut raya… bukan apa setahun sekali lah katakan sedangkan kita lupa bahawa mati kita sekali dalam seumur hidup tidak akan berulang dan tidak akan diundurkan masa bila tiba ajal, tapi kita tetap meraikan syawal seperti kita mati pada esok hari… memang benar mungkin kita mampu (kaya) tapi diluar sana ada raaaaamaiiii…. lagi yang tidak mampu… tetapi sekiranya diantara kalian (yang mampu) yang telah memberi kecukupan kepada mana-mana yang memerlukan dan anda memberi kecukupan pada diri anda sendiri serta ahli keluarga maka anda adalah yang terbaik… kecukupan untuk diluar sana bukan bermaksud menghantar sedulang char kuey teow untuk moreh di surau (itupun terpaksa kerana dah ada sistem bergilir), kecukupan untuk diluar sana bukan bermaksud  sudah menghantar juadah berbuka puasa yang disedekahkan kepada penduduk di surau sedangkan itu hanya kuih buah melaka (puteri mandi) yang cukup untuk sepuluh orang. Namun bagi yang telah mencukupkan lebih selebihnya anda adalah yang terbaik!



Pada tika dan saat ini surau dan mesjid mula menampakkan taringnya yang sebenar apabila terawih dan solat subuh hanya dihadiri oleh pak imam yang bermatian-matian melagukan qasidahnya sebaik mungkin dan juga ahli jawatankuasa mesjid dan surau yang hadir berterawih bagi memuliakan penghujung ramadhan. Kita pula bagaimana? Yang balik kampung jenguk-jenguklah surau dikampung manalah tau bertemu lailatulqadar secara kebetulan, kalau tidak pun mungkin bertemu jodoh dengan rakan sekelas yang lampau…  

Apa yang penting untuk kita ialah persediaan Syawal ialah sebenarnya semakin kita mengimarahkan surau dan mesjid dan semakin kita bergotong royong untuk hadir berjemaah, semakin tebal ketakwaan kita pada Allah bukan semakin kita mempromosi biskut raya kita, bukan semakin kita riak dengan baju raya baru kita, bukan semakin kita lupa. Ingatlah bahawa apa yang kita miliki sebenarnya adalah milik Allah… sekiranya kita beranggapan kita lebih dari mampu lebih dari kaya marilah kita renungkan bahawa Rasulullah SAW itu lebih kaya dari semua manusia sekiranya Baginda menginginkannya, malahan segunung emas setinggi Everest mampu diadakan kepada baginda oleh Allah SWT tetapi bukan itu yang dicari, bukan itu yang ditunjuk, bukan itu yang diriakkan tetapi baginda memilih untuk bersederhana, siapa kita disisi Allah? Dan siapa Rasulullah SAW di sisi Allah? Dan siapa yang memiliki kekayaan dan segala harta yang berada dimuka bumi dan dilangit? Tentunya amat mudah untuk Allah memberi keutamaan kepada Rasulullah SAW berbanding diri kita! Malahan jika Allah ingin menarik segala nikmat (tak perlulah nikmat yang kekal seperti oksigen atau hilang anggota badan) cukup sekadar rezeki dan kita menjadi papa kedana maka mulalah kita mengingati Allah dan mulalah kita memperbanyakkan solat dan doa… jadi jangan tunggu hingga nikmat Allah ditarik dari kita!  



Sehubungan dengan itu kita wajar berkira-kira apa persediaan syawal, adalah afdal untuk kita mengetatkan ikatan kain pelikat (sarung), semakin kita kurangkan tidur agar dapat bertahajud, semakin kita dahaga kerana tidak berhenti untuk bertasbih dan berzikir. Malahan jika terpandang isteri yang semakin ramping (almaklumlah semenjak puasa) mungkin cukup sekadar menelan airliur bukannya apa kita berada dihari-hari terakhir ramadhan bukannya satu ramadhan. Tidak salah untuk membuat persediaan meraikan syawal tetapi biarlah berpada dan berwaspada… hingga zakat fitrah hampir terlupa dan kita kelam kabut dicampur dengan tergesa-gesa berjumpa dengan amil sebelum solat sunat aidilfitri dan bila tiba di surau sembahyang aidilfitri orang berpusu-pusu balik sebab dah habis baru tersedar semalam masih lagi sibuk dengan shopping walaupun dalam hati cuba mencari waktu yang paling afdal dalam membayar zakat fitrah.


Justeru tidak lengkap sekiranya kita berbicara mengenai zakat fitrah tetapi kita tidak mengimbas nilai zakat fitrah pada tahun ini iaitu 2011 mengikut negeri masing-masing.  Berikut adalah kadar zakat fitrah;
NEGERI
KADAR ZAKAT FITRAH 2011 (RM)
Perlis
6.00
Kedah
7.00
Pulau Pinang
7.30
Perak
7.00
Selangor
7.00
Negeri Sembilan
6.50
Melaka
6.30
Johor
6.50
Pahang
7.30
Terengganu
6.00/7.00/800
Kelantan
7.60
Sarawak
7.50
Sabah
7.00
Wilayah Persekutuan
7.00

Wajib membayar zakat: mulai tebenam matahari akhir 30 ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.
Afdhal: sebelum sembahyang sunat hari raya Aidilfitri.
Sunat: sepanjang bulan Ramadhan.
Makruh: selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu syawal.
Haram: selepas terbenam matahari pada satu syawal; hukumnya berdosa tetapi wajib ditunaikan zakat fitrah dan pada waktu itu ia dikiraa qada.



Bila tibanya Syawal mungkin ia merupakan satu detik yang paling menggembirakan pada semua umat Islam kerana berjaya mengalahkan nafsu semasa berpuasa dan melakukan amal ibadah yang berlipat ganda. Sehubungan dengan itu, disunnahkan untuk kita melakukan;

(i) BERTAKBIR bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) hingga ketika imam selesai berkhutbah.

(ii) perkara sunnah yang seterusnya  ialah MENGUCAP LAFAZ SELAMAT PADA HARI RAYA AIDILFITRI – sebenarnya adalah kurang tepat dengan mengucap selamat hari raya aidilfitri maaf zahir dan batin kepada rakan taulan atau ahli keluarga sama ada melalui sms ataupun facebook terutamanya bagi yang kreatif dengan gambar (edit menggunakan photoshop dll) keluarga sedondon atau gambar terpacak bersendiri dengan senyum manis dan songkok tinggi ala penari inang dengan ucapan bla..bla..bla.. tulus ikhlas dari polan si polan (semua orang ditagged), sabda Rasulullah SAW tetapi diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani r.h yang dinukilkan dari Jubair r.a katanya “apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu di Hari Raya sebahagian merka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu)”. Malahan masyarakat kita yang sinonim dengan pak turut sering mengungkapkan ungkapan “Minal Aidin Wal Faa’iziin” (eh macam bunyi lagu raya kalau tak silap), ungkapan ini sebenarnya tidak bersumberkan pada mana-mana sunnah nabi, maka diungkapkan selepas ucapan Selamat Hari Raya dan disambung dengan “Minal Aidin Wal Faa’iziin” dan dalam kepala pemahaman kita bermaksud “Maaf Zahir dan Batin” sedangkan ia tidak bermaksud sedemikian kerana ia merupakan ungkapan harapan dan doa dan ungkapan ini sebenarnya tidak lengkap dari awalnya yang sepatutnya “jaalnallahu wa iyyakum minal ai’din wal faa’iziin” yang bermaksud (semoga Allah menjadikan kami dan anda sebagai orang-orang yang kembali dan beruntung [menang]). Justeru sepatutnya kita mengungkapkan dengan lebih jelas sambil menghulurkan tangan bersalam-salaman memohon keberkatan di pagi aidilfitri.



 (iii) BERQIAMULLAIL adalah menunjukkan kita terus isitqamah dengan apa yang kita lakukan pada bulan ramadhan dan kita lakukan diluar daripada bulan ramadhan. Ini menunjukkan kita membawa kebaikan dibulan ramadhan kebulan-bulan lain bukan hanya spesifik pada bulan ramadhan.

(iv) MANDI DIPAGI RAYA disunnahkan kepada kita untuk mandi dipagi raya seperti yang diharuskan pada kita untuk mandi pada hari jumaat, hari aidiladha, hari Arafah dan Aidulfitri itu sendiri.

(v) MAKAN SEBELUM SOLAT AIDILFITRI ia adalah untuk mengelakkan perbuatan dari segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya, Rasulullah mengamalkan memakan buah kurma dengan bilangan ganjil namun sekiranya kita tidak  memakan buah kurma yang sinonim pada ramadhan (stok dah habis sebab dijadikan biskut raya) bolehlah digantikan dengan suatu yang manis dan jikalau  tiada sekurang-kurangnya air (jangan plak pekena rendang dan kari ayam berserta ketupat) dan bila makan bukan pada tahap membalas dendam kerana telah berpuasa sebulan hingga inilah saatnya makan sehingga kenyang (almaklumlah kali pertama makan pada waktu awal pagi selepas sebulan).


(vi) MEMAKAI PAKAIAN YANG INDAH juga disunnahkan kepada kita pada hari raya termasuklah juga solat sunat jumaat dan aidiladha selain memakai wangi-wangian dan bagi wanita hindarilah dari memakai baju yang agak bercorak serta memakai perhiasan berlebih-lebihan hingga menarik perhatian lelaki (bukannya apa biasanya kat jubah perempuan sekarang segala ibu dan nenek permata berlian intan payung dijahit di jubah atau baju kurung nampak glamour dan vogue gitu! belum plus tudung segala manik dan segala batu gua stalagtit dan stalagmite itu pun belum dicampur dengan batu kerikil jalan yang dilalui sepanjang ke mesjid atau surau). Jadi biarlah bersederhana.

(vii) BERJALAN KAKI MENUJU KESURAU ATAU MESJID tetapi bagi yang berkenderaan mungkin jauh ia dibolehkan dan perlulah mengikut jalan yang berbeza semasa pergi dan balik dari surau atau mesjid ini adalah untuk membolehkan kita berjumpa dengan rakan-rakan lain yang berbeza laluan dengan bersalam-salaman. Maka semakin ramailah kita boleh memberi ucapan ‘taqabbalullah minna waminka’

(viii) TEMPAT PELAKSANAAN SOLAT Aidilfitri adalah sunnah kita mengerjakan solat aidilfitri dikawasan lapang untuk memudahkan khatib melihat semua hadirin yang hadir selain mengumpul semua muslimin dan muslimat dua kali dalam setahun. 



(ix) MENGERJAKAN SOLAT AIDILFITRI merupakan perkara sunnah yang wajar kita lakukan iaitu solat sebanyak dua rakaat dan tidak ada paksaan untuk mendengar khutbah seperti dalam hadis riwayat Abu Daud “aku pernah menghadiri solat hari raya aidilfitri bersama nabi SAW setelah selesai solat baginda bersabda: sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar” (jadi bagi yang tidak sabar-sabar untuk memperagakan pakaian baju kurung atau baju melayu atau baju jubah dengan tudung yang maha cantik dan mahal bolehlah beredar atau mungkin yang ingin balik ke kampung sebelah isteri [almaklumlah isteri ada tiga orang nak ikut giliran macam mana? kalau ikut giliran tiap tahun confirm ada yang beraya kat kampung sendiri selepas lima tahun]).

(x) BERGEMBIRA PADA HARI RAYA turut disunnahkan kepada kita menunjukkan agama Islam ini bukan hanya beramal dan beribadah semata-mata juga turut bergembira diatas kemenangan melawan nafsu pada bulan ramadhan dengan kunjung mengunjungi sanak saudara dan rakan-rakan dan perlu juga dijaga adab dan tertib kita serta akhlak semasa kunjung mengunjungi dan bergembira (bukannya bermain mercun hingga menganggu ketenteraman awam kemudian putus jari atau yang bercinta mungkin ini masanya untuk mengambil potret kenangan sambil duduk serapat-rapatnya dengan buah hati almaklumlah sebulan duduk berlainan meja maka inilah masanya duduk semeja kalau tak pun dalam hati nak duduk sekerusi sebenarnya ini merupakan perbuatan yang sia-sia, nanti dah kahwin dengan orang lain, gambar dengan kekasih masa raya dulu masih dalam kenangan dan yang bodohnya berbondong-bondong gambar diupload kedalam facebook. Sisuami sekarang pun nampak gambar raya yang lepas-lepas si isteri dengan ex-boifren dulu, bukannya apa sebab akaun facebook dah lupa password dan dah buka akaun baru selepas kahwin. Kantoilah yang si isteri atau suami dulu memang hero/heroin gambar-gambar majalah Mangga).


(xi) MENGERJAKAN PUASA SUNAT ENAM kerana ia merupakan satu lagi limpahan pahala yang tidak ternilai kerana ia seperti berpuasa setahun jika melakukan puasa enam dan janganlah dicampurkan puasa enam dengan puasa qada, selain puasa enam itu boleh dilakukan secra berturut-turut tau berpisah-pisah. Namun terdapat sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa boleh dicampur puasa qada dan puasa enam tetapi perlu niat puasa qada dahulu dan kemudian niat puasa enam.

Oleh itu, Kata akhir pada saya pada entry kali ini adalah baik persediaan yang kita buat sebelum menjelang syawal adalah menambah baik amalan dan ibadah kita pada hari-hari terakhir ramadhan bukannya persediaan yang mengejar hanya pada syawal dan persediaan baik adalah untuk kita melakukan perkara-perkara sunnah yang boleh memberikan keberkatan pada diri kita sendiri dan sesama muslim… insyallah bertemu lagi pada entry akan datang! ASSALAMUALAIKUM WBT..

No comments:

Post a Comment